Sunday, July 19, 2009

Peranan al-Quran dalam Intelektual

Islam sangat menghargai sekali ilmu. Jika dikaji secara holistik, kitab suci al-Quran mengandungi bukan sahaja ilmu yang berkaitan agama tetapi ia juga mengandungi ilmu mantik seperti ilmu keduniaan iaitu ilmu pengetahuan sains dan matematik. Ini dapat dilihat dari 6666 ayat suci al-Quran, lebih 700 ayat adalah ayat yang membicarakan tentang ilmu sains dan matematik ini termasuk disiplin-disiplin atau pecahan-pecahan ilmu yang berkaitan contohnya, geografi, ekonomi, astronomi dan sebagainya. Ini secara tidak langsung al-Quran bukan sahaja berperanan ilmu berkaitan agama tetapi juga berkaitan dengan ilmu keduniaan seperti yang disaran oleh Allah S.W.T untuk dikaji demi meningkat keimanan kepada-NYA yang pada masa yang sama dapat meningkatkan ketamadunan kepada umat-NYA dan ini telah dijelaskan didalam al-Quran, surah al-‘Alaq ayat 1-5 yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Bertitik-tolak dari ayat tersebut para ulama mahupun sarjana Islam giat mengkaji rahsia-rahsia al-Quran untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam penyelesaian umat Islam seharian , seperti dalam ibadat contohnya, menentukan waktu solat yang memerlukan ilmu hisab ( matematik ) dan sains astronomi seperti diterangkan dalam surah Yaasin, ayat 40:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.”

Berdasarkan keterangan ayat tersebut jelas menyatakan bahawa dalam penentuan atau penyelesaian masalah menentukan waktu solat perlulah berdasarkan peredaran matahari dan bulan pada garis edar masing-masing. Dari segi penyelesaian masalahnya memerlukan kepakaran dalam bidang ilmu falak yang mengakibatkan sarjana Islam berkaitan berusaha mendalami ilmu tersebut dan hasilnya ketamadunan Islam menguasai ilmu astronomi serta disiplin-disiplin lain secara amnya yang dapat dilihat semasa zaman keemasan Islam dalam bidang keilmuan dan pendidikan iaitu sewaktu zaman Kerajaan Bani Abbasiyah, Khalifah Al-Makmum ( 132-232 Hijrah/750-848 masihi ) bertanggungjawab mendukung dalam perkembangan ilmu baginda juga menubuhkan Baitulhikmah bertempat di ibu kota Baghdad yakni pusat pentadbiran Kerajaan Bani Abbasiyah dan berfungsi sebagai pusat kajian ilmu serta menuntut ilmu dari seluruh dunia termasuk dari benua Eropah dan menterjemahkan buku-buku bahasa asing yang mengandungi pelbagai ilmu berkaitan disiplin-disiplin sains dan matemati ke dalam bahasa arab seperti buku dari tamadun Yunani, Rom, dan Hindhustan kemudian diharmonikan berlandaskan Islam seperti termaktub dalam al-Quran.

Sarjana-sarjana Andulus ( 756-1031 masihi ) yang mendapat pendidikan di timur yakni di Baghdad telah membawa pulang tulisan atau kajian termasyur ke negara mereka menjadikan panduan dalam kajian atau pengajaran mereka. Masjid-masjid dijadikan pusat pendidikan dan perpustakaan umum mahupun persendirian turut didirikan yang sekaligus membuka jalan bagi aktiviti penulisan dan kesusasteraan dengan meluas menjelang kurun ke-10 masihi di Cordova yang merupakan pusat pentadbiran dan intelektual utama di Andalus dan akhirnya mencapai zaman kemuncaknya semasa pemerintahan Abdul Rahman ke-3 dan anaknya Al-Hamka ke-2.

Kesan dari mendalami ilmu, maka lahirlah tamadun dan peradaban Islam yang agung contohnya, zaman Kerajaan Bani Abbasiyah kurun ke-8 masihi dan Kerajaan Umaiyah Andulus ( 756-1031 masihi ) dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan hasil kajian mereka menjadi rujukan sehingga kini dan menjadi bahan rujukan utama semasa kebangkitan tamadun Eropah iaitu zaman Renaissance sekitar abad ke-13 sehingga abad ke-18 masihi. Anda seorang pelajar Muslim sejati semestinya mencontohi umat Islam terdahulu dalam usaha melahirkan semula kelangsungan peradaban Islam yang akhirnya umat tidak mudah di tindas mahupun di pandang rendah.

No comments:

Post a Comment