Thursday, August 20, 2009

ARTIKEL SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM KE-2: SEMPENE MUKTAMAR ABIM DAERAH PUTATAN KALI KE-2 PADA 28 JUN 2009



AHLI PANEL FORUM: Peranan Generasi Muda dalam Pembudayaan Ilmu

(Dari kiri) Sdri. Nurhaizah Bt Ejab, Helwa ABIM Sabah, Tahun Akhir Sarjana Muda Tesl UMS, Sdr.Zikri Zainuddin, Setiausaha ABIM , Sabah, Tahun Akhir Sarjana Muda Pendidikan Kaunselor, UNITAR, Saya sendiri sebagai Pengerusi Forum, & Ahli Panel Terakhir, Sdr. Basri Abbas, Pen. Setiausaha ABIM Putatan.


Islam sangat menghargai sekali ilmu. Jika dikaji secara holistik, kitab suci al-Quran mengandungi bukan sahaja ilmu yang berkaitan agama tetapi ia juga mengandungi ilmu mantik seperti ilmu keduniaan iaitu ilmu pengetahuan sains dan matematik. Ini dapat dilihat dari 6666 ayat suci al-Quran, lebih 700 ayat adalah ayat yang membicarakan tentang ilmu sains dan matematik ini termasuk disiplin-disiplin atau pecahan-pecahan ilmu yang berkaitan contohnya, geografi, ekonomi, astronomi dan sebagainya. Ini secara tidak langsung al-Quran bukan sahaja berperanan ilmu berkaitan agama tetapi juga berkaitan dengan ilmu keduniaan seperti yang disaran oleh Allah S.W.T untuk dikaji demi meningkat keimanan kepada-NYA yang pada masa yang sama dapat meningkatkan ketamadunan kepada umat-NYA dan ini telah dijelaskan didalam al-Quran yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq: 1-5)



Ucapan Alu-Aluan Sebelum Sesi Ucap Utama

Berdasarkan, surah tadi, jelas mengambarkan akan kepentingan ilmu kepada umat Islam dalam usaha membangunkan umat Islam serta ketamadunan dan peradaban unggul serta menjadi contoh kepada umat lain. Disamping itu, budaya ilmu bukanlah semata-mata pendidikan formal seperti yang diajar di sekolah-sekolah mahupun di institusi-institusi penggajian tinggi tetapi juga boleh di pelajari secara tidak formal seperti diskusi dengan rakan, membuat menelaan sendiri dan sebagainya. Umat Islam terdahulu amat prihatin akan kepentingan ilmu dan mereka berusaha menguasainya yang secara tidak langsung dapat menyelesaikan permasalahan seharian yang timbul seperti waktu solat atau arah kiblat dalam menentukan seperti diterangkan dalam al-Quran:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.”
(Surah Yassin, : 40 )



Ucap Utama Konsep Budaya Ilmu Y.Bhg. Sdr. Muddin Beting Penolong Pengarah
Jabatan Pelajaran Sabah


Kesan dari mendalami ilmu, maka lahirlah tamadun dan peradaban Islam yang agung contohnya, zaman Kerajaan Bani Abbasiyah kurun ke-8 masihi dan Kerajaan Umaiyah Andulus ( 756-1031 masihi ) dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan hasil kajian mereka menjadi rujukan sehingga kini dan menjadi bahan rujukan utama semasa kebangkitan tamadun Eropah iaitu zaman Renaissance sekitar abad ke-13 sehingga abad ke-18 masihi. Anda seorang pelajar Muslim sejati semestinya mencontohi umat Islam terdahulu dalam usaha melahirkan semula kelangsungan peradaban Islam yang akhirnya umat tidak mudah di tindas mahupun di pandang rendah. Jesteru, program ini memperjelaskan serta memberi pendedahan kepada para peserta akan signifikan budaya ilmu.



Para Jemputan Forum

Seminar Pemikiran Islam kedua ini di anjurkan sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Putatan kali kedua yang berlangsung pada 28 JUN 2009 bersamaan 5 Rejab 1430H (Ahad), dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah danJabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS). Objektif utama penganjuran program ini adalah Memahami Konsep Budaya Ilmu, Menghayati Budaya Ilmu di Kalangan Generasi Muda, dan Peranan Generasi Muda Dalam Membudayakan Ilmu. Slogan program seminar ini merupakan “ Budaya Ilmu Melahirkan Peradaban dan Ketamadunan Unggul ‘’, ini bertepatan dengan situasi semasa bahawa generasi muda khasnya kurang dalam membudayaankan ilmu.



Sesi 1 : Budaya Ilmu Teras Pembinaan Generasi Disampaikan oleh Y.Bhg. Sdr. Abdul Manap Mahmud Yang Di Pertua ABIM Sabah, Pensyarah Kanan UiTM, Sabah Yang Di Pengurusikan Oleh Sdr. Safwan Ramlee, Tahun Kedua Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, UMS (Duduk).

Signifikan program yang dapat dilihat secara terperinci dalam konteks pembinaan sesebuah negara yang unggul dan mantap, ia memerlukan pembentukkan generasi muda yang berkualiti dalam meneruskan kesinambungan pencapaian peradaban sedia ada bagi sesebuah negara itu, maka pembudayaan ilmu amat penting dalam merencana usaha tersebut. Manakala, dari sudut pembinaan umat Islam yang disegani dalam pencapaian peradaban, ia tidak jauh bezanya dalam prinsip pembinaan sesebuah negara tetapi ia melibatkan sesebuah masyarakat berskala besar dan tidak terbatas ruang lingkup sempadan sesebuah negara.



Jemputan Peserta

Kamus Dewan (2000) mendefinisikan ’budaya’ sebagai tamadun , peradaban , kemajuan fikiran , akal budi , cara berfikir atau cara berkelakuan . Perkataan ’ilmu’ pula memiliki definisi yang sangat luas dan susah untuk didefinisikan . Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat bahawa ilmu itu sendiri sebenarnya tidak bersifat neutral , budaya yang berbeza memiliki konsep yang juga berbeza mengenai ilmu walaupun ada persamaan mengenainya . Terdapat perbezaan yang ketara dan tidak seiring mengenai konsep ilmu di antara budaya Islam dan juga Barat . (Wan Mohd. Nor, 1998). Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ’Ulum al-Din mendefinisikankan ’ilmu’ itu kepada daya membuat generalisasi , konsepsi terhadap idea-idea yang abstrak dan keupayaan memperoleh kebenaran intelektual . (Hamid Fahmy Zarkasyi , 1990). Maka ’budaya ilmu’ yakni apabila kedua-dua konsep budaya dan ilmu digabungkan boleh diertikan sebagai segala aktiviti keilmuan yang dilaksanakan oleh setiap anggota masyarakat dan diterima sebagai nilaitara utama dalam amalan mereka . (Mok Soon Sang , 2000)



Semasa Sesi Forum Berlangsung

Jika diimbau semula zaman peradaban dan ketamadunan awal yang mengalami pencapaian luar biasa seperti Tamadun Mesopotamia, Mesir Purba, Hindus, Yunani mahupun Rom, warga ataupun masyarakat komuniti di pusat peradaban-peradaban tersebut telah mengadaptasikan budaya ilmu sebagai manifistasi dalam membangunkan prasarana-prasarana negara mereka yang akhirnya mengwujudkan sebuah masyarakat kaya dengan ilmu pengetahuan serta mampu mencipta disiplin-disiplin ilmu seperti sains, matematik, geografi serta astronomi. Dr. Hasan Langgulung (1979) berpendapat bahawa dengan turunnya ayat al-Quran yang pertama di Gua Hira kepada baginda Rasulullah s.a.w adalah tanda akan bangkitnya satu peradaban baru di dunia .



Sesi Soal Jawab Semasa Sesi 1

Ini kerana apabila manusia itu disuruh membaca (Surah al-’Alaq :1-5) maka proses “membaca” itu sendiri akan melibatkan berbagai proses mental yang tinggi seperti proses pengenalan (cognition) , ingatan atau hafalan (memory) , pengamatan (perception) , pengucapan (verbalizing) , pemikiran (reasoning) serta daya cipta (creativity). Ini dapat dilihat sepanjang pembinaan ketamadunan dan peradaban Islam yang akhirnya berjaya menguasai pelbagai ilmu pengetahuan bah kan menjadi rujukan dari komuniti lain seperti benua Eropah yang menjadi landasan kebangkitan tamadun Eropah di zaman pertengahan sepanjang kurun ke-13 sehingga kurun ke-19. Contohnya, semasa zaman Kerajaan Islam Bani Umaiyah Andalusia (Sepanyol) (abad ke-8) danKerajaan Islam Bani Abbasiyah (abad ke-8 masihi) Golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan sebenarnya bukanlah menonjolkan sebuah kekuatan hakiki tetapi berpandukan dari sejarah tamadun manusia , seringkali kita saksikan bahwa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak diasaskan oleh budaya ilmu yang baik , akan memeluk dan menganut nilai
dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu (Wan Mohd. Nor,1997)



Sdr. Basri Abbas mengupas topik yg dilontarkan sambil diperhati oleh saya...


Penghayatan budaya ilmu di kalangan generasi muda amat penting dalam usaha membina dan mempertahankan pencapaian peradaban yang sedia ada dalam sesebuah ketamadunan masyarakat ataupun negara tersebut, ini penting bagi kelangsungan sesebuah ketamadunan itu. Ilmu tidak hanya dilihat sebagai penggajian disekolah sahaja tetapi perlu dilihat secara holistik iaitu budaya ilmu boleh dipraktikan dalam suasana bukan formal yang boleh memberi hasil asas-asas ilmu secara tidak langsung termasuk melibatkan ilmu sosial antropologi secara perdebatan dan diskusi ilmu. Masyarakat pada hari pula melihat aspek pendidikan sebagai syarat untuk lulus peperiksaan sekaligus sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan , kurikulum yang tersedia juga kurang memberi peluang untuk para pelajar untuk berfikir secara aktif , ilmu itu juga telah disempitkan melalui pengkhususan dan pengelasan , ilmu tidak dapat kaitkan dengan iman dan amal serta terpinggirnya kesan ilmu terhadap aspek akhlak . (Dr. Tajul Ariffin Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002) Oleh itu , set minda masyarakat yang sempit yang berkemungkinan diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti pengaruh sekularisme atau dualisme yang diperkenalkan oleh pentadbiran kolonial silam misalnya perlulah diubah melalui pendidikan Islam agar konsep ilmu yang luas dapat memberi impak yang sempurna kepada masyarakat .

Nahtijah yang dapat dirumuskan adalah pembudayaan ilmu bagi sesebuah komuniti masyarakat dalam sesebuah peradaban itu amat penting dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu yang secara tidak langsung meningkatkan ketamadunan sesebuah bangsa tersebut. Untuk memupuk kesedaran berbudaya ilmu di dalam masyarakat bukanlah satu impian yang terlalu ideal atau mustahil untuk dicapai . Ini kerana melalui pengalaman sejarah silam , generasi manusia terdahulu seperti masyarakat Yunani , Hindus, Rom dan Islam sendiri pernah mencapainya di dalam pelbagai bidang keilmuan.




PUTERA ALIIF AL’AIN BIN JASNI
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN (UMS-KAL),
SARJANA MUDA EKONOMI KEWANGAN ISLAM (2008/2009).

1 comment:

  1. Seems a very heavy topic. It looks like you have full participation.

    ReplyDelete