Wednesday, December 9, 2009

Bagaimana Islam Mengatur Masyarakat

SOSIAL ADALAH BAYARAN KEPADA PEMBANGUNAN

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di majlis makan malam Kelab Harvad Malaysia di Petaling Jaya menekankan bahawa sikap terlalu bergantung dan penyakit sosial adalah bayaran kepada pergantungan dalam segenap sektor ekonomi dan sebagai penyelesaianya pembangunan kebudayaan dan etika perlu ada untuk bersaing seiring dengan pembangunan fizikal dan metarial (UM 6 Mei 2005).

Ini juga dapat dilihat dan dijelaskan dengan kejayaan negara-negara barat mencapai taraf negara maju yang pesat. Dimana sebelumnya mereka telah ‘menikmati’ masalah sosial yang berat malah mereka masih lagi berterusan menghadapinya dan semakin kronik. Bagi mereka pembangunan mesti diteruskan terserahlah kepada manusia untuk menyesuaikan kehidupan barunya dengan pembangunan, sekiranya gagal dan terpinggir itu masalah mereka sendiri.

Disebalik itu juga, pembangunan yang dinikmati tidak boleh diberhentikan malah tetap diteruskan, dan segala masalah yang timbul darinya hendaklah diselesaikan. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada aspek pembangunan barat, Malaysia telah membuat pendekatan kepada pembangunan dengan memperkenalkan konsep Islam Hadhari. Tidak cukup dengan itu kini ditambah pula dengan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni sebagai memperkasakan Dasar Sosial Negara. Islam hadhari dilihat sebagai jalan untuk memperbaiki masalah yang timbul dengan menggunakan ‘islam’ sebagai asasnya, ini kerana kapitalis pada asasnya hanya mementingkan kebendaan semata.

Seterusnya, ada yang berpendapat bahawa sekiranya pembangunan tidak diteruskan maka akan menimbulkan masalah lain. Masalah yang akan timbul iaitu kemiskinan dan masalah cabang darinya. Ini dapat kita lihat dari ucapan Datuk Seri Rafidah Aziz semasa memberikan ucapan di dalam perhimpunan agung UMNO pada 19 Jun 2002 lalu: “Umat Islam tidak dapat dijamin kemajuan mereka jika keadaan tidak menggalakkan, dan jika kedudukan sosial dan ekonomi tidak dibela. Bahkan ibadah mereka akan terjejas dan terganggu, jika mereka sentiasa dalam kedaifan dan kemunduran”. Di samping itu juga Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Nawawi mengatakan bahawa kemiskinan dan persekitaran tempat tinggal yang tidak sempurna merupakan faktor pendorong penduduk miskin yang tinggal di bandar terjebak dengan pelbagai jenayah dan kegiatan sosial (UM 20 April 2005).

Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM Penang mengatakan ketidakseimbangan pembangunan dengan memfokuskan kepada ekonomi secara total akan menyebabkan wujudnya masalah cabang lain dalam lingkaran kesejahteraan masyarakat (UM 19 Januari 2005). Sementara itu, Mohd Mahzan Timbalan Dekan Akademik dan Pelajar Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, UUM berpandangan “pembangunan negara yang tidak seimbang kemungkinan menjadi penyumbang terbesar kepada perubahan sikap. Ini kerana kesan pembangunan, alam sekitar yang semakin hilang kehijauan atau dikatakan psikologi persekitaran ini menyebabkan ia mempengaruhi tingkah laku kita” (UM 20 Mac 2005).

Walaupun pelbagai kaedah yang diguna pakai untuk membendung masalah sosial ini, namun masih gagal menyelesaikannya. Sebagai contoh bilangan penagih dadah semakin meningkat, suku tahun ini seramai 251 ribu diberkas. Kesalahan seksual sebanyak 672 kes sepanjang tahun 2000 hingga 2003. Sementara jenayah bunuh pula berjumlah 545 kes dan 175 kes pada tahun 2003. Ini tidak dikira lagi jenayah-jenayah lain yang tidak direkodkan seperti penzinaan, jenayah juvenal dan jenayah lain. (Majalah i, April 2005)

Apabila melihat dengan lebih mendalam, masalah sosial ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kita, kerana seringkali dipaparkan dalam media cetak dan elektronik. Ianya berulang-ulang seolah tiada noktah. Kalau dahulu kita mungkin terkejut mendengar kes rogol dan pembunuhan di akhbar tapi hari ini ia seolah tidak membawa apa-apa makna dan kesan. Seolah-olah ianya adalah perkara yang seiring dengan pembangunan. Setiap negara yang akan membangun akan pasti menghadapai masalah sosial.

Hadharah (Peradaban) dan Madaniah (Tamadun)

Membincangkan pembangunan seringkali masyarakat keliru dengan perbezaan Hadharah dan Madaniyah. Mereka menganggap kedua-duanya adalah sinonim. Oleh yeng demikian tidak hairanlah apabila konsep, pandangan dan falsafah barat yang menyesatkan diambil dan diamalkan tanpa ada sikap rasa bersalah. Dan lagi, perkataan tersebut seringkali ditemui ketidak tepatan penggunaannya. Memang ada yang mengatakan kita tidak perlu mempermasalahkan istilahnya, tetapi penggunaanya adalah perkara yang amat penting supaya tidak mengelirukan para pembaca dan pendengar.

Makna hadharah dalam bahasa Arab dan seringkali diungkap dalam Lisanul Arab:

“Berada dalam al-hadhar dan al-hadhar, al-hadhrah maupun al-hadhirah adalah lawan kepada al-badiyah iaitu al-maudun, al-qura dan ar-raif”

Jadi dari segi bahasa, hadharah adalah lawan kepada bahasa badaawah, iaitu daerah dipinggir kota dan perkampungan. Jadi makna bahasa bukanlah makna sebenar ketika membincangkan hadharah. Hadharah mempunyai makna tertentu yang khas. Apabila orang barat mula menggunakan perkataan “civilization” maka diterjemahkan kedalam bahasa Arab adalah al-hadharah atau al-madaniyah yang menggambarkan kemajuan dari aspek fizikal, industri dan pembangunan yang seiring dengan zaman kebangkitan. Seringkali berlaku pula makna juga mengalami perubahan kepada makna baru. Maka makna baru pula menunjukkan bahawa segala sesuatu yang dimiliki oleh suatu bangsa, masyarakat atau umat tertentu, yang berupa warisan dengan ciri khas dan kreativitinya yang membezakan dari bangsa, masyarakat dan umat lainnya.

Membincangkan peradaban suatu bangsa atau masyarakat tertentu, pasti tidak akan lari dari membicarakan metode kehidupan yang menjadi pembeza. Memang jelas bahwa setiap bangsa dan masyarakat tertentu dari dulu lagi hingga sekarang memiliki metode kehidupan yang tertentu. Sehingga ini dijadikan sebagai kriteria khas dan khusus kepada identiti dan keperibadian bangsa dan masyarakat tersebut. Metode yang membezakan inilah yang disebut dengan istilah Hadharah.

Jadi penggunaan istilah Hadharah hanya menunjukkan sesuatu yang berbeza dari segi metode kehidupan suatu bangsa atau masyarakat. Jadi bentuk-bentuk dan perkara-perkara fizikal yang digunakan oleh masyarakat dalam urusan kehidupannya dan tidak membezakan dari masyarakat lain adalah bukan hadharah. Dari aspek sains dan teknologi, industri serta pelbagai kemajuan fizikal yang dicapai oleh umat tertentu tidak membezakan dari bangsa lain, dan tidak mencerminkan ciri khas masyarakat tersebut. Bentuk-bentuk dan benda-benda fizikal ini adalah bersifat neutral dan umum bagi seluruh manusia dan masyarakat. Dibolehkan pada masa yang sama, menggunakan dan memanfaatkan suatu bentuk dan alat yang dikembangkan oleh suatu bangsa lain, selagi mana bentuk dan alat tersebut tidak bertentangan dengan ciri khas bangsa tersebut. Oleh yang demikian perkataan hadharah hanya digunakan menunjukkan segala hal yang membezakan sebuah masyarakat, dan seterusnya mempunyai pola khas dalam kehidupannya.

Apabila kita perhatikan secara mendalam, kita akan perolehi bahawa masyarakat khas akan mempunyai “pemahaman” tentang kehidupan yang memberikan bentuk penampakkan serta keperibadian dan akan menjadikan mereka mempunyai pola kehidupan yang khas. “Pemahaman” inilah yang mengatur kehidupan dan mengikat hubungan dalam masyarakat. Jadi jelaslah menunjukkan bahawa “hadharah” adalah “sekumpulan pemahaman tentang kehidupan”.

Sebagai umat islam, hadharah hendaklah beasaskan akidah yang bersumber dari wahyu. Akidah inilah membangunkan pemikiran-pemikiran, dan munculnya perasaan dan membentuk identiti umat Islam. Seterusnya melahirkan pengaturan kehidupan dan mengikat hubungan dalam masyarakat. Jadi umat islam, hendaklah membezakan perkara yang boleh diambil dan tidak dari bangsa tertentu.

Umat islam dilarang mengambil akidah, falsafah, sistem dan perudangan kafir. Ini jelas diterangkan dalam ayat Al Quran:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan dengan kitab itu pula Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan seizinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus” (TQS al-Maidah :15-6)

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikit kamu mengambil pelajaran” (TQS al-Araf :3)

“Pada hari ini telah kusempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan telah Ku-redhai Islam adalah agama kamu” (TQS al-Maidah : 3)

“Sungguh kalian akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, dan sehasta demi sehasta, hingga andai mereka masuk kedalam biawak pasti kamu akan menuruti mereka. Ditanyakan: ‘Wahai Rasulullah, apakah mereka yahudi dan nasarani?’ Rasulullah menjawab: Lalu, siapa lagi”. (Riwayat Muslim)

Bentuk dan alat yang diguna pakai untuk kehidupan itulah yang disebut sebagai Madaniyah. Dengan kata lain ianya adalah sekumpulan bentuk dan benda fizikal yang digunakan untuk urusan kehidupan. Madaniyah boleh diambil dan dimanfaatkan selagi tidak bertentangan dengan hadharah islam. Di mana madaniyah adalah hasil kreativiti dan inovatif manusia yang bersifat neutral dan tidak mengambarkan dari metode kehidupan tertentu. Dimana sepanjang sejarah telah menunjukkan bawah umat islam pernah menggunakan hasil teknologi orang kafir untuk kepentingan umat Islam. Dan ini tercakup dalam kaedah syarak

“Hukum asal semua benda adalah mubah”

Jadi kita boleh mengambil semua kreativiti dan inovasi bangsa lain seperti perindustrian, alat ketenteraan serta teori-teori ilmiah untuk digunakan sebagai kekuatan kaum muslimin, seperti yang terkandung dalam firman Allah SWT:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi” (TQS al-Anfal : 60)

Semua unsur madaniyah tidak berkaitan dengan peradaban khas bangsa mana pun. Jadi hadharah adalah berbeza sama sekali dengan madaniyah. Umat Islam dilarang sama sekali mengambil hadharah yang bukan dari islam walau sekecil manapun, kerana ianya bertentangan dengan asas Islam. Islam mempunyai peradaban yang sempurna dan khas. Sebaliknya madaniyah adalah bersifat umum dan universal, dan boleh mengambil dan menggunakannya selagi mana tidak bertentangan dengan akidah Islam.

Kenapa Masalah Sosial Berlaku?

Masalah sosial berlaku kerana manusia sudah melupakan tanggungjawab mereka masing-masing. Ini dapat kita lihat dari aspek mereka memenuhi keperluan organik dan kehendak naluri mereka. Disebabkan mereka mengambil hadharah barat sebagai metode khas kehidupannya maka, segala aspek keputusan disandarkan kepada metode khas kafir tadi. Tujuan kehidupan kapitalis adalah meletakkan kebendaan adalah puncak kebahagian. Jadi mempunyai harta benda yang banyak adalah kebahagian, hedonisme, materialistik dan sikap individualistik mejadi darah daging dalam diri mereka.

Ini berlaku apabila manusia saling ingin memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing tanpa ada pengaturan yang datang dari pencipta. Pemenuhan seperti ini apabila dibiarkan berjalan tanpa ada pengaturan akan menjerumus kepada pemuasan yang salah dan menyimpang dari norma-norma kemanusiaan dan pada akhirnya akan mengakibatkan kesengsaraan manusia dari segi mental dan fizikal. Dan dari sinilah timbulnya masalah-masalah yang melanda kehidupan kita pada hari ini. Manusia sebenarnya tidak dapat mengakui hakikat sebenar manusia. Jadi pemahaman yang salah tentang penyelesaian hidup manusia akan menyebabkan terjadinya perbezaan, perselisihan, pertentangan antara satu sama lain dan seringkali dipengaruhi oleh keadaan sekeliling tempat dimana manusia itu hidup.Oleh yang demikian apabila kehidupan ini tidak dibatasi oleh hukum dan perundangan Allah SWT pasti akan menghasilkan kebinasaan dan menimbulkan pelbagai masalah kronik kepada manusia. Islam meletakkan tujuan hidup adalah mendapatkan keredhaan Allah SWT dan bukan meletakkan materialistik segalanya.

Jadi menggunakan pembangunan fizikal untuk menyelesaikan masalah manusia sama sekali tidak akan berjaya .Sebagai contoh, Amerika adalah salah satu negara industri yang mempunyai KDNK yang tinggi namun masalah sosialnya juga tinggi. Ini dapat kita lihat dari kadar masalah jenayah dan bilangan banduannya yang berjumlah 6,934,200 orang statistik pada tahun 2003 dan pada tahun 1980 hanya 1,842,100 orang sahaja, peningkatan sebanyak 12% setiap tahun (sumber Bureau of Justice Statistics, www.ojp.usdoj.gov/bjs)

Begitu juga walaupun negara Afrika adalah negara miskin namun masalah AIDS adalah yang paling merunsingkan sekali. Di mana bilangan penghidap AIDS dan HIV adalah 25.4 juta dibandingkan anggaran 39.4 juta diseluruh dunia pada tahun 2004 (sumber statistics UNAIDS/WHO). Jadi jelaslah bahawa kemajuan bukanlah faktor penting yang menjadi indikasi masalah sosial dapat diselesaikan.

Penyelesaian Islam Terhadap Masalah Sosial

Dalam menyelesaikan masalah sosial, islam telah menggariskan kaedah yang khas. Seringkali kita lihat masalah sosial yang cuba diselesaikan oleh hadharah asing, dalam masa yang sama juga, masalah lain akan timbul. Ini jelas kita lihat, masyarakat kapitalisme seringkali berubah corak penyelesaiannya, berpecah-belah, tidak diawasi dan dimuhasabah oleh sesiapapun ini kerana masyarakat bagi mereka adalah sekumpulan individu yang bebas melakukan apa sahaja dan tidak mampu untuk melakukan muhasabah terhadap isi masyarakatnya.

Sistem Islam pula berbeza dengan kapitalisme, dan tidak berkompromi sama ada pemikiran dan metode kehidupannya (hadharah). Islam menggunakan 3 asas perlaksanaan sistemnya untuk mengatur masyarakat dengan dibantu oleh sistem-sistem yang lengkap.

1. Asas Pertama
Rasa ketaqwaan yang tertanam dan terbina dalam diri setiap individu dan masyarakat dapat mengawal individunya daripada melakukan maksiat. Akidah muslim menjadi pengawal kepada tingkah lakunya sehingga tidak akan pernah bertentangan dengan prinsipnya. Seorang muslim secara pasti tanpa keraguan dan kebimbangan sedikitpun meyakini bahawa Allah SWT selalu mengawasinya, dimana setiap amalannya pasti dihisab dan diberi balasan syurga atau neraka.
Pada masa sekarang kita mendengar, masih banyak contoh-contoh yang menunjukkan tingginya nilai taqwa individu dan pengaruhnya terhadap masyarakat. Majoriti umat tidak melakukan maksiat walaupun kemudahan dan peluang yang diberikan oleh negara-negara kapitalis itu terbuka luas. Ini menunjukkan bahawa ketaqwaan individu menjadi salah satu asas penerapan penyelesaian masalah sosial.

2. Asas Kedua
Asas kedua ini memerlukan sikap kerjasama masyarakat dalam mengawal dan melaksanakan hukum islam dengan lengkap. Sikap saling mengawal perlaksanaan hukum dan perundangan Islam serta sentiasa mengawasi serta memperbetulkan sikap pemerintah dapat membantu menjadikan masyarakat Islam berbeza dengan kapitalis yang terpecah-belah oleh rasa individualitsik dan sentiasa berubah bentuk. Ini jelas dimana masyarakat Islam terbina dari individu yang pemikiran, perasaan dan peraturan yang mengikat mereka sehingga menjadi khas dan kukuh kesatuannya.
Masyarakat Islam memiliki karakteristik tersendiri dalam membentuk perasaan taqwa dalam diri individu. Ini dijelaskan oleh:

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar sebagai penegak keadilan, janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendoroag mu untuk tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (TQS al-Maidah : 8)

Disamping itu masyarakat Islam itu perlu peka dan sensitif terhadap peristiwa yang berlaku, apatah lagi kemaksiatan yang mengancam keutuhannya. Maka dari sinilah muncul amar makruf nahi mungkar menjadi agenda paling utama yang membezakannya dari masyarakat kapitalis. Allah SWT berfirman:

“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyuruh kepada kebaikan, menyeru kepada maaruf dan mencegah dari mungkar; mereka itulah orang yang beruntung” (TQS al-imran : 104)

“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, menyeru kepada maaruf dan mencegah dari mungkar dan beriman kepada Allah” (TQS al-Imran : 110)

Oleh yang demikian ketaqwaan individu dapat dibina dan dipengaruhi oleh masyarakat, dan seseorang yang ingin melakukan maksiat tidak akan berani melakukannya. Sekiranya berlaku juga, ianya mungkin dilakukan dalam keadaan tersembunyi dan mudah untuk dia sedar kembali kepada kebenaran dan bertaubat di atas kesilapannya. Oleh yang demikian amar maaruf nahi mungkar inilah yang akan berjaya mengekalkannya menjadi masyarakat Islam. Ketiadaan sikap ini menjadikannya masyarakat menjadi individualistik.

3. Asas Ketiga
Asas ketiga ini yang sentiasa dilupai, atau sengaja untuk tidak dibangkitkan oleh negara kapitalis. Seringkali kita dengar pihak yang dipersalahkan apabila berlaku peningkatan kemaksiatan adalah pelaku maksiat itu sendiri dan ibu bapa mereka sahaja, tetapi terlupa meletakkan peranan penting daulah. Kegagalan melaksanakan hukum islam dalam mengatur masyarakat menyebabkan kemaksiatan boleh berlaku secara sedikit demi sedikit dan akhirnya merebak menjadi kronik dan kritikal. Kedudukan negara dalam islam adalah selalu memelihara masyarakat dan anggotanya serta bertindak sebagai pemimpin yang mengatur dan mementingkan urusan rakyatnya. Peranan daulah dalam Islam adalah menerapkan hukum syara’ dan mengembangkan dakwah islam ke seluruh penjuru dunia.
Negara islam adalah bangunan yang kukuh dan padu yang bersatu dengan tingkah laku individu dan masyarakatnya. Ini terjadi kerana umat adalah pendukung negara dan negara berkuasa penuh menerapkan hukum-hukum syarak secara adil dan menyeluruh. Oleh yang demikian, negara merupakan asas tegak dan kukuhnya masyarakat.

Negara adalah pengawal dan pengawas masyarakat, individu dan perlaksanaan hukum syarak. Pemerintah dan pegawainya telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menerapkan syariat. Ini dijelaskan dalam hadith Rasuullah SAW:

“Seorang pemimpin adalah pegembala, dan dia bertanggungjawab terhadap gembalaanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari ibnu umar)

Hadith ini menunjukkan kedudukan Khalifah atau pemimpin negara Islam itu adalah untuk menerapkan hukum islam dalam mengatur rakyatnya. Penerapan ini akan sentiasa dipertahankan apabila tiga asas sentiasa ada.

Namun apabila ketaqwaan individu dan masyarakat kawalan sahaja yang ada tanpa adanya negara yang menerapkan hukum Islam, tentu mustahil hukum islam dapat diterapkan dan mustahil masalah sosial akan dapat diselesaikan. Jadi pihak yang selalu mempersalahkan individu dan masyakat seringkali mengabaikan tanggungjawab dan penyelewengan negara yang mengakibatkan pintu kemaksiatan terbuka luas.

Bagaimana Islam Mengatur Masyarakat

Manusia secara fitrahnya adalah makhluk sosial. Ciri-ciri inilah yang mendorong setiap manusia untuk hidup sebagai anggota masyarakat, di mana berinteraksi dengan anggota masyarakat lainnya untuk memenuhi keperluan organik dan memuaskan dorongan naluri iaitu naluri menyembah, mempertahankan diri dan berkasih sayang. Tiada seorangpun yang memenuhi dorongan naluri dan keperluan biologinya tanpa bantuan dan hubungan dengan orang lain. Sifat-sifat hubungan tersebut ditentukan oleh sistem yang dilaksanakan di tengah masyarakat.

Sememangnya setiap sistem di dunia ini selalu berusaha menyeimbangkan antara keperluan individu dan masyarakat tetapi apabila keperluan individu diabaikan kesannya adalah hidup dalam kesengsaraan seperti di dalam sistem komunis. Begitu pula jika masyarakat tidak berfungsi dengan sepatutnya atau secara optimum untuk menjadi lingkungan dimana manusia dapat berusaha memenuhi keperluannya pasti tidak mendatangkan hasil yang dikehendaki seperti di dalam sistem kapitalis.

Hanya Islam yang dapat memberikan sistem yang mampu menyeimbangkan kepentingan individu dan kepentingan masyarakat. Islam tidak memandang masyarakat sebagai sekelompok indidvidu yang tidak melakukan interaksi antara satu sama lain serta tidak berkait antara satu sama lain atau juga tidak memandang masyarakat sebagai satu objek besar dari susunan manusia yang tidak bernilai langsung. Sebaliknya masyarakat adalah sekelompok individu yang hidup bersama dengan tujuan sosial yang sama, saling berhubungan dengan konsep atau pemikiran serta perasaan yang tertentu. Pemikiran atau konsep tersebut akan membentuk budaya, nilai serta tingkahlaku masyarakat yang seterusnya melahirkan peraturan yang mengikat masyakarat.

Individu itu pula akan bertanggungjawab terhadap dirinya, keluarganya dan seluruh masyarakatnya. Masyarakat yang terbentuk sebagai kesatuan juga mempunyai tannggungjawab terhadap individu dan umat manusia keseluruhannya. Mengenai tanggungjawab individu terhadap masyarakat ini dijelaskan oleh hadith rasulullah:

“Perumpamaan keadaan masyarakat yang menjaga hukum-hukum Allah adalah seperti suatu rombongan yang naik kapal. Ada yang duduk diatas, dan ada dibahagian bawah. Dan apabila ada orang di bahagian bawah akan mengambil air, ia mesti melalui orang yang diatas. Maka berfikir orang dibahagian bawah, “Seandainya aku membuat lubang ditempatku sendiri untuk mendapat air, tentu aku tidak akan menggangu orang bahagian atas” Apabila mereka mencegahnya ia akan selamat dan seluruh isi kapal yang selamat, sementara apabila mereka membiarkan, maka orang itu akan binasa dan seisi kapalnya” (Riwayat Imam Bukhari)

Hadith ini menjelaskan tentang kewajiban setiap anggota dalam masyarakat, tanpa mengabaikan kebajikan dirinya sendiri. Apabila tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sepatutnya maka akan mendatangkan kepincangan dalam masyarakat. Jika orang dibahagian atas kapal tidak memberikan air kepada orang dibawahnya, dengan alasan mempertahankan haknya, maka orang bawah akan menderita. Sekiranya orang dibawah mengambil inisiatif lain dengan menebuk lubang di dasar kapal, maka seluruh kapal akan tenggelam. Maka gambaran hadith ini adalah menunjukkan bahawa individu dan masyarakat hendaklah saling bergantung antara satu sama lain tanpa mengabaikan kepentingan dirinya sendiri dan mengorbankan kepentingan orang lain. Inilah cara bagaimana Islam mengatur masyarakat agar sentiasa harmoni.

Khatimah

Sebagai kesimpulannya, Islam menetapkan setiap permasalahan hendaklah kembali merujuk kepada Al Quran dah Hadith Rasulullah. Jadi apabila hendak mengubah tingkah laku manusia menjadi baik tidak lain tidak bukan adalah mengubah konsep pemikirannya terlebih dahulu. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum itu, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri-diri mereka” (TQS ar-Rad : 11)

Konsep pemikiran umat yang berjaya membangun dari segi fizikal dan rohaniyah adalah memegang pemikiran tentang kehidupan dunia sehingga dapat terwujud konsep pemikiran yang benar akan kehidupan yang benar pada dirinya. Seterusnya seseorang itu akan memahami tanggungjawap dalam masyarakatnya. Inilah ciri khas dan kaedah yang diguna-pakai untuk menyelesaikan masalah sosial. Disamping itu juga, peranan daulah Khilafah yang telah dihancurkan sejak 3 Mac 1924 akan dapat dikembalikan secepat mungkin.

“Yang tidak dating kepadanya (Al Quran) kebathilan baik dari depan maupun dari belakang, yang diturunkan oleh Rabb Yang Maha Terpuji” (TQS al-Fushilat : 42)

Abdul Rashid Muhammad. 8 Mei 2005.

No comments:

Post a Comment